KUALA LUMPUR – Peningkatan paras defisit serta pertambahan ambang hutang statutori kepada 60 peratus menunjukkan kerajaan bersedia berbelanja sebagai tindak balas terhadap krisis.
Dalam pada itu, kerajaan juga memastikan langkah yang dilaksanakan masih di paras yang bertanggungjawab, demikian kata Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, langkah itu dicerminkan oleh pengumuman firma penarafan kredit global, S&P Global Ratings (S&P) yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara dengan menyokong usaha yang dilaksanakan kerajaan masih dalam had dasar yang bertanggungjawab di samping pengukuhan ekonomi negara.
Katanya, walaupun agak terhad dalam ruang fiskal, kerajaan akan memastikan sokongan yang mencukupi dalam memastikan sistem kesihatan negara mempunyai kapasiti untuk bertindak balas terhadap krisis kesihatan semasa, memastikan rakyat yang terjejas mendapat bantuan dan memastikan kelangsungan perniagaan.
“Sememangnya (kita berada) dalam krisis. Kerajaan menunjukkan kesediaan secara bertanggungjawab dengan berbelanja lebih sebagai tindak balas kepada krisis dan pada masa sama mengekalkannya dalam paras yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu temubual bersama stesen radio perniagaan, BFM89.9 hari ini.
Kerajaan kekal komited terhadap konsolidasi fiskal jangka sederhana dalam memastikan kemapanan fiskal negara. Dalam tempoh sedekad yang lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.4 peratus pada 2019.
Berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, defisit fiskal 6.0 peratus yang disasarkan pada tahun ini diunjurkan berkurang kepada paras purata sekitar 4.5 peratus antara 2021 hingga 2023 dengan jangkaan harga minyak mentah yang lebih tinggi serta keperluan sokongan fiskal yang berkurangan seiring dengan pemulihan pandemik COVID-19.
Mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Johan berkata, kerajaan yakin pembukaan semula sektor ekonomi secara berperingkat dalam beberapa fasa mengikut pelan pemulihan itu adalah lebih selamat dan stabil berbanding pembukaan sektor ekonomi secara meluas dan cepat, yang mana boleh menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.
Beliau berkata, langkah yang dilaksanakan dalam PPN menyaksikan usaha untuk keluar daripada sekatan pergerakan secara beransur-ansur berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan untuk beralih ke fasa selanjutnya.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: Pelan Pemulihan Negara Dilaksanakan Mengikut 4 Fasa
Discussion about this post