PETALING JAYA – Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur asing apabila menerima pelaburan sebanyak RM42.2 bilion daripada syarikat China, Risen Energy Co Ltd, iaitu pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan modul solar.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, pelaburan itu merangkumi aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel solar dan modul solar melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd yang diluluskan lesen pengilang dan galakan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Beliau berkata, pelaburan untuk tempoh 15 tahun yang bermula tahun ini hingga 2035 dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan, selain menjalin kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara “internship”.
“Saya yakin kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.
“Ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power sedang beroperasi di Malaysia,” katanya dalam catatan di Facebook.
Terdahulu, Muhyiddin mengadakan mesyuarat maya bersama Pengerusi dan Presiden Syarikat Risen Energy Co Ltd, Xie Jian yang turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pelaburan daripada syarikat berkenaan adalah satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran wabak Covid-19.
“Trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.
“Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” katanya.
–FREE MALAYSIA TODAY
BACA SETERUSNYA: Kedudukan Malaysia, Singapura Sebagai Hab Kewangan Hijau Dikukuhkan
Discussion about this post