KUALA LUMPUR – Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan Journify, platform digital sehenti bagi pelancongan dan gaya hidup yang menyediakan penyelesaian menyeluruh perjalanan.
Ia sekali gus melengkapkan kekuatan dan kepakaran syarikat induk Malaysia Airlines Bhd itu dalam perniagaan perkhidmatan sistem penerbangan dan penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail, berkata Journify akan menjadi cabang perniagaan ketiga di bawah kumpulan.
Beliau berkata, platform digital ini akan mengubah pengalaman pengguna dalam perjalanan dan gaya hidup selain menawarkan penyelesaian perjalanan daripada akses maklumat berkaitan lokasi percutian, perancangan dan beli belah.
Katanya, semua tugas dapat dilakukan melalui Journify di journalifyshop.malaysiaairlines.com dan aplikasi Malaysia Airlines, menjadikan pengalaman perjalanan dan gaya hidup holistik pelanggan yang terbaik.
Dilancarkan pada platform Beta, Journify katanya, menjanjikan lebih banyak ciri dan fungsi yang akan ditambah secara berperingkat.
“Journify menandakan tonggak penting dalam perjalanan transformasi MAG untuk menjadi syarikat penerbangan dan perjalanan terkemuka di Asia.
“Ia membolehkan kumpulan memberikan penyelesaian perjalanan hujung ke hujung yang disesuaikan dan digital, sekaligus mengubah kumpulan dari hanya syarikat penerbangan menjadi penyedia penyelesaian perjalanan holistik.
“MAG percaya Journify akan menjadi pintu masuk masa depan dalam penerbangan dan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Malaysia Airlines, MAG adalah syarikat induk kepada Firefly, MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy, perkhidmatan penerbangan umrah dan haji Amal, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.
Journify mempunyai lebih 10 kategori seperti peniaga, tempat menarik, dari kafe dan restoran hingga pusat hiburan, tarikan utama serta pusat membeli-belah dengan pelbagai jenama mewah.
Selain meneroka pelbagai tawaran yang mudah dan senang diakses, Journify memberikan ganjaran kepada pelanggan dengan Enrich Points untuk setiap perbelanjaan yang dilakukan melalui platform itu.
Mata yang dikumpulkan itu kemudiannya boleh digunakan untuk menebus penginapan hotel, baucar makan, akses Golden Lounge, baucar membeli-belah dalam talian, pemeriksaan perubatan dan penerbangan percuma.
Sempena pelancaran paltform digital MAG, pelanggan berpeluang menikmati penjimatan hebat dengan diskaun untuk jenama terpilih di Malaysia.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: E-dagang Meningkat Kerana COVID-19
Discussion about this post