KUALA LUMPUR – Defisit fiskal dijangka meningkat antara 6.5% dan 7% daripada KDNK tahun ini berbanding 6% yang disasarkan sebelumnya selepas mengambil kira pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan bersedia memperluas ruang fiskal sekiranya perlu untuk menyokong ekonomi dan rakyat.
“Kami mengalami defisit yang akan mencecah 7%. Ini bukan mengenai ukuran defisit, ia lebih kepada kemampuan untuk meminjam dan saiz (jumlah) rizab.
“Walaupun Malaysia diberi penarafan A dari segi rizab fiskal, kami lebih kecil daripada negara dengan penarafan A yang lain. Satu-satunya perbezaan ialah kami mempunyai prospek pertumbuhan yang kukuh,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan South China Morning Post (SCMP).
Menteri itu berkata, negara mencatatkan defisit tertinggi pada 2008-2009 (6.7%-6.9%).
Beliau berpendapat, perkara paling penting akhirnya adalah sama ada negara memberi sokongan yang mencukupi kepada rakyat.
“Saya percaya bantuan yang diberikan kerajaan – apabila dilihat pada kekangan fiskal yang kami ada – sudah memadai.
“Anda juga mesti lihat pada nisbah liputan perkhidmatan hutang kami dan juga pada kecairan/mudah tunai institusi domestik hari ini,” tegasnya.
Ketika ditanya adakah kempen “Bendera Putih” yang dimulakan oleh rakyat menunjukkan bahawa pakej rangsangan kerajaan tidak berjalan lancar, Tengku Zafrul berkata, beliau percaya ia bukan sebabnya.
“Kami telah menangani beberapa masalah itu dengan memastikan semua wakil rakyat diberi peruntukan untuk menyokong kawasan pilihan raya masing-masing.
“Malah kerajaan telah melancarkan program makanan dan bersama semua lapisan masyarakat, termasuk badan bukan kerajaan dan juga pihak pembangkang.
“Keadaan sekarang amat mencabar dan anda mesti ingat bahawa ada segelintir masyarakat kami terutama golongan rentan yang masih memerlukan bantuan,” katanya.
Menteri itu menambah kerajaan turut memasukkan suntikan fiskal langsung sebanyak RM10 bilion di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang bertujuan menyediakan bantuan menyeluruh kepada rakyat.
–BERNAMA
BACA SETERUSNYA: Ekonomi Asia Pasifik Terjejas Akibat Jangkitan COVID-19
Discussion about this post