KUALA LUMPUR – MR DIY Group (M) Bhd dan Touch ‘n Go Group menjalin kerjasama strategik bagi meningkatkan pengalaman kepada pelanggan kedua-dua syarikat semasa berbelanja.
Melalui kerjasama itu, orang ramai kini boleh menambah nilai kad Touch ‘n Go di semua cawangan MR DIY selain menggunakan e-dompet Touch ‘n Go bagi membuat pembayaran di cawangan dan laman web e-dagang MR DIY.
Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong, berkata selain memberikan manfaat dan kemudahan tambahan kepada pengguna, inisiatif juga disasarkan untuk memastikan pendekatan pemasaran yang lebih relevan melalui pengkhususan tawaran disokong oleh keupayaan data dan analisis.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu mengukuhkan lagi usaha kedua-dua syarikat, dengan MR DIY akan menjadi salah satu ikon utama dalam e-dompet Touch n Go.
Ini, katanya, akan membolehkan 16 juta pengguna Touch ‘n Go melihat katalog produk MR DIY dengan lancar, memesan dan membayar barangan selain mendapatkan khidmat penghantaran untuk pembelian atau diambil dari cawangan pilihan.
“Inisiatif ini dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga 2021. Kami sentiasa mencari cara baharu dan inovatif untuk menjadikan MR DIY lebih mudah diakses.
“Usaha sama dengan Touch ‘n Go adalah langkah yang penting untuk membolehkan pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah tanpa tunai dan menguntungkan di MR DIY,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid, berkata situasi perniagaan ketika ini memerlukan pihaknya memupuk usaha sama kukuh dengan pelbagai jenama di Malaysia.
“Kami percaya MR DIY adalah rakan kongsi yang paling sesuai dan berharap akan dapat memberi penawaran lebih hebat kepada pelanggan masing-masing.
“Touch ‘n Go dan MR DIY adalah jenama tempatan dengan matlamat utama memberi keutamaan kepada pelanggan serta menyampaikan nilai yang hebat di sepanjang rantaian interaksi pelanggan,” katanya.
Pelanggan MR DIY yang membayar menggunakan e-dompet Touch ‘n Go di kedai atau secara dalam talian akan menikmati promosi serta diskaun menarik.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: TnG: Shop Malaysia Online Sokong Perniagaan Tempatan
Discussion about this post