PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia dijangka menghadapi cabaran untuk mengekalkan momentum pemulihan dengan penularan lebih pantas varian baharu COVID-19 memburukkan lagi krisis kesihatan, demikian menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata walaupun petunjuk ekonomi utama bagi lima bulan pertama 2021 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, namun Indeks Pelopor (IP) mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan.
“IP yang menjadi petunjuk hala tuju ekonomi dalam beberapa bulan ke hadapan mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 6.9 peratus pada Mei 2021 berbanding 15.7 peratus pada April 2021.
“Selain itu, kadar pertumbuhan IP terlicin bergerak menurun walaupun terus berada di atas trend,” katanya dalam Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia Siri 7/2021.
Mohd Uzir berkata, pada masa ini, Malaysia masih bergelut dalam membendung penularan COVID-19 dengan pandemik yang berterusan memberi cabaran kepada pertumbuhan ekonomi.
“Bagi mengatasi situasi ini, kerajaan melaksanakan tindakan yang bersepadu bagi mempercepatkan program vaksinasi dan memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Mengenai petunjuk ekonomi utama pada Mei 2021, beliau menjelaskan, seiring dengan asas yang rendah pada bulan dikaji, perdagangan Malaysia terus melonjak tahun ke tahun sebanyak 48.7 peratus, meneruskan pertumbuhan dua angka selama empat bulan berturut-turut.
“Eksport Malaysia meningkat 47.3 peratus, didorong oleh kenaikan eksport domestik yang mengembang 45.9 peratus dan eksport semula yang mengukuh kepada 56.1 peratus.
“Sementara itu, import meningkat 50.3 peratus, melebihi pertumbuhan eksport buat pertama kalinya sejak April 2020. Imbangan dagangan kekal mencatatkan lebihan iaitu RM13.7 bilion dengan peningkatan 32.3 peratus,” katanya.
Seiring dengan itu, Mohd Uzir berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Mei 2021 turut meneruskan momentum pertumbuhan dua angka dan mencatatkan kenaikan 26.0 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya berikutan kesan asas yang rendah tahun lalu.
“Peningkatan ketara ini didorong oleh semua sektor terutamanya sektor Pembuatan dan Perlombongan serta pasaran eksport yang kukuh.
“Selanjutnya, sektor pembuatan, yang menjadi komponen terbesar dalam IPP, mencatatkan 29.8 peratus dipacu oleh pertumbuhan output berorientasikan eksport dan domestik,” katanya.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: Sekatan Penuh Penghalang Pemulihan Ekonomi
Discussion about this post