PUTRAJAYA – Pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada 768,700 orang atau pada kadar 4.8 peratus Jun lalu, demikian menurut perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar yang direkodkan itu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada bulan itu bagi melandaikan peningkatan kes harian baharu COVID-19.
Beliau berkata, langkah yang terpaksa diambil oleh kerajaan itu juga menyebabkan kedudukan tenaga buruh pada Jun berdepan dengan cabaran.
Justeru, katanya, bilangan penduduk bekerja menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 15.3 juta orang berbanding 15.37 juta orang pada Mei 2021.
Ia juga, katanya menurunkan nisbah guna tenaga kepada penduduk sebanyak 0.4 peratus kepada 65 peratus.
“Kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus pada Mei 2021. Ia peningkatan semula setelah merekodkan penurunan bagi tempoh empat bulan berturut-turut.
“Bilangan penganggur naik seramai 40,600 orang atau 5.6 peratus kepada 768,700 orang berbanding 728,100 pada Mei 2021.
“Bagaimanapun, berdasarkan tahun ke tahun, kadar pengangguran menurun sebanyak 0.1 mata peratus berbanding 4.9 peratus pada Jun 2020, manakala bilangan penduduk bekerja berkurang seramai 4,600 orang berbanding Jun 2020 pada 773,200 orang,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Jun 2021.
Mohd Uzir berkata, semua sektor turut merekodkan penurunan guna tenaga pada tempoh dikaji.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan merekodkan pengurangan bulan ke bulan buat pertama kalinya setelah mencatatkan peningkatan selama 12 bulan.
Katanya, penurunan dalam sektor itu disumbangkan oleh aktiviti penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, hartanah serta perdagangan borong dan runcit.
Pelaksanaan PKP penuh sepanjang Jun juga, katanya menyebabkan bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat dengan ketara sebanyak 661,400 orang kepada 801,100 orang berbanding Mei 2021 pada 139,600 orang.
Katanya, situasi yang sama juga pernah dialami ketika pelaksanaan pertama PKP tahun lalu di mana berlaku peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu.
“Sekiranya krisis kesihatan ini berterusan, ekonomi dan pasaran buruh akan terus mengalami momentum pemulihan yang tidak menentu.
“Bagaimanapun pasaran buruh akan pulih seiring dengan aktiviti ekonomi berdasarkan langkah pemulihan serta vaksinasi yang pantas ketika ini,” katanya.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: Semakin Ramai Siswazah Menganggur
Discussion about this post