KUALA LUMPUR – Pengenalan teknologi terkini membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu dalam sektor perakaunan dan kewangan ketika industri sedang beradaptasi dengan perubahan yang berlaku.
Pemangku Ketua Jurusan Perakaunan & Kewangan, Taylor’s Business School, Taylor’s University, Prof Madya Dr Nor Shaipah Abdul Wahab, berkata proses automasi boleh membantu akauntan menyelesaikan tugasan dengan lebih cekap kerana ia dapat mengurangkan kesilapan manusia.
Malah, jelasnya dalam masa sama automasi memberi lebih banyak masa untuk akauntan melaksanakan tugasan lain yang lebih bernilai.
“Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penerimaan 29 permohonan lesen bank digital yang terdiri daripada pelbagai pihak seperti bank, konglomerat, firma teknologi, operator e-dagang, penggiat teknologi kewangan, koperasi serta kerajaan negeri.
“Ini adalah petanda jelas bahawa pada masa hadapan akan ada lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor ini. Graduan perakaunan masa hadapan perlu bersedia dan diberikan infrastruktur yang terkini supaya mereka turut mengambil bahagian dalam perubahan yang sedang berlaku,” katanya kepada BH.
Nor Shaipah berkata, tahun lalu menyaksikan pelbagai perubahan dasar yang diperkenalkan untuk membantu landskap kewangan digital berkembang.
Katanya, berdasarkan kajian yang dibuat oleh CPA Australia, lebih 75 peratus perniagaan di Malaysia memanfaatkan sekurang-kurangnya satu produk atau perkhidmatan teknologi kewangan tahun lalu, dengan pembayaran mudah alih dan dompet digital adalah teknologi kewangan terbesar yang diterima guna.
“Bagi sektor perakaunan, saya percaya satu daripada teknologi yang akan digunakan secara meluas kelak adalah blockchain.
“Ia adalah teknologi yang memberi nafas kepada mata wang kripto, yang mendapat banyak perhatian sejak beberapa tahun lalu.
“Penggunaan blockchain tidak hanya terhad kepada mata wang kripto, malah ia juga boleh digunakan untuk menaik taraf pelbagai proses dalam industri perkhidmatan kewangan,” katanya.
Nor Shaipah berkata, memandangkan teknologi blockchain mungkin berupaya untuk mengambil alih tugasan tertentu akauntan seperti penyimpanan kira-kira, penyelarasan lejar dan rutin audit, maka tugas harian seorang akauntan perlu didefinisikan semula.
“Dengan mengautomasi tugasan rutin, akauntan akan mempunyai lebih banyak masa untuk tugasan dan pemikiran aras tinggi seperti analisis, penyelidikan selain membuat keputusan berkaitan strategi, di mana hasilnya boleh menambah nilai untuk pelanggan dan firma masing-masing,” katanya.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: Lebih 700,000 Rakyat Malaysia Kini Menganggur
Discussion about this post