KUALA LUMPUR – Xiaomi kini muncul jenama telefon pintar nombor satu dunia buat julung kali, menurut laporan Monthly Market Pulse Service oleh Counterpoint Research.
Laporan itu menyebut, pengeluar telefon pintar dari China itu mengatasi jenama terkemuka Samsung dan Apple pada Jun 2021.
“Jualan Xiaomi berkembang 26 peratus bagi bulan ke bulan pada Jun 2021, menjadikannya sebagai jenama paling pantas berkembang pada bulan berkenaan.
“Xiaomi juga adalah jenama nombor dua di peringkat global untuk suku kedua 2021 dari segi jualan dan secara keseluruhan, telah menjual hampir 800 juta telefon pintar sejak diperkenalkan pada 2011,” katanya.
Menurut Pengarah Penyelidikannya, Tarun Pathak, sejak kemerosotan Huawei, Xiaomi telah melakukan usaha yang konsisten dan agresif untuk memenuhi jurang disebabkan kemerosotan itu.
Katanya, Xiaomi mengembangkan kehadirannya ke dalam pasaran legasi Huawei dan HONOR seperti China, Eropah, Timur Tengah dan Afrika.
“Pada Jun, Xiaomi dibantu lagi dengan pemulihan di China, Eropah dan India serta kemerosotan Samsung disebabkan oleh kekangan bekalan,” katanya.
Melangkah ke hadapan, jika situasi di Vietnam tidak bertambah baik, pengeluaran Samsung berkemungkinan terjejas, dengan telefon pintar tersebut terus meraih keuntungan penguasaan pasaran daripada jenama Korea Selatan itu.
Bagaimanapun, sebaik Samsung kembali pulih, kedudukan itu berkemungkinan untuk berubah kembali.
–BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: Xiaomi Pengeluar Telefon Pintar Kedua Terbesar, Atasi Apple
Discussion about this post