KUALA LUMPUR – Kegagalan membuat pembayaran balik, sewaan, dan pembelian menyebabkan peningkatan terhadap jumlah peruncit yang dibawa ke muka pengadilan oleh pemberi pinjaman.
Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) mendedahkan perkara itu berlaku disebabkan kemelut kewangan yang dihadapi peruncit kerana COVID-19.
“Perniagaan tidak dapat beroperasi sepenuhnya dan pada masa sama peruncit terpaksa menanggung kewajipan bulanan seperti sewa, gaji dan hutang.”
Ramai peruncit yang bergantung hanya pada simpanan dan pinjaman peribadi pada masa sekarang dan dengan ketiadaan pendapatan bulanan yang tetap, simpanan akan makin berkurang.
MRCA berkata, dengan peningkatan kadar vaksinasi dan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), peruncit seharusnya tidak boleh dikenakan ‘hukuman’ dengan sekatan perniagaan yang keras.
Justeru, persatuan itu menggesa kerajaan membenarkan semua sektor runcit dibuka segera dengan kepatuhan berterusan terhadap SOP bagi memastikan kelangsungan hidup dan kelestarian sektor runcit.
Ia menambah, hampir semua sektor runcit mengalami ‘kerosakan’ yang tidak dapat dipulihkan dan penutupan sektor penting pada Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKP Diperketatkan (PKPD) akan merugikan keseluruhan rantaian bekalan.
“Kami berharap kerajaan akan memberikan bantuan kewangan dan perundangan kepada sektor runcit yang menjadi antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 34.6 peratus pada 2018.”
“MRCA merayu kepada kerajaan memberikan kebenaran pembukaan semula semua sektor runcit dengan segera,” katanya.
BACA SETERUSNYA: Pembukaan semula ekonomi timbulkan persoalan
Discussion about this post