KUALA LUMPUR – Plus Xnergy Holding Sdn Bhd (“Plus Xnergy”) syarikat yang diasaskan di Malaysia yang merupakan pemimpin industri dalam penyelesaian tenaga bersih, melaksanakan penjenamaan semula dalam usahanya untuk mengubah strategi bagi menstrukturkan semula dan mengoptimakan perniagaan syarikat tersebut untuk membawa pembaharuan dalam bidang tenaga.
Hasil dari usaha tersebut, Plus Xnergy diwujudkan sebagai syarikat induk, dengan Plus Xnergy Services Sdn Bhd (“PXS”) yang dahulunya dikenali sebagai Plus Solar Systems Sdn Bhd, kini berfungsi sebagai subsidiari kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dan Plus Xnergy Edge Technologies (PXET) sebagai subsidiari yang bertumpu ke arah teknologi. Ini adalah untuk mewujudkan ketangkasan bagi syarikat tersebut serta memberi tumpuan dalaman untuk terus mara dalam bidang masing-masing, ke arah mentakrifkan semula penjanaan dan kecekapan tenaga.
“Penjenamaan semula di kalangan syarikat perniagaan dalam tempoh yang mencabar ini adalah sesuatu yang jarang berlaku, tetapi bagi kami, ia adalah satu keperluan yang mendesak untuk membuat perubahan dan mengubah strategi penyelesaian kami. Terdapat begitu banyak potensi yang tidak diusahakan di Malaysia dan di rantau ini, di mana potensi tenaga boleh baharu di Asia Pasifik (APAC) adalah bernilai RM15.3 trilion,” kata Ko Chuan Zhen, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Plus Xnergy.
“Dengan penjenamaan semula ini, kami membawakan penawaran baharu yang inovatif. Walaupun selama ini kami adalah pesaing yang kuat dalam pasaran niaga-ke-niaga (B2B), ini adalah masa yang tepat untuk menyertai pasaran niaga-ke-pengguna (B2C) memandangkan adanya permintaan yang tinggi daripada segmen ini. Potensi penerimagunaan adalah menggalakkan kerana terdapat lebih 3.2 juta hartanah kediaman di Malaysia.”
Bagi tahun pertama, Plus Xnergy mengunjurkan pemasangan tenaga suria adalah bagi 2,000 buah rumah, dan kemudiannya sehingga 5,000 buah rumah bagi tahun kedua. Ini adalah selari dengan program NEM 3.0 Rakyat, yang diperkenalkan oleh kerajaan pada awal tahun ini, untuk menggalakkan pertumbuhan dan penerimagunaan penyelesaian suria untuk pengguna dan isi rumah. Dalam pada itu, usaha-usaha B2C juga akan mewujudkan lebih daripada 500 usahawan mikro.
“Matlamat kami adalah untuk mempercepatkan penerimagunaan penyelesaian suria dengan program tenaga suria sewa untuk dimiliki yang pertama di pasaran. Ini akan membawakan penjimatan jangka panjang kepada isi rumah di Malaysia tanpa kos bulanan yang tidak realistik, pada masa yang sama mempercepatkan kemaraan negara ke arah matlamat tenaga boleh baharu,” tambah Ko.
Program sewa untuk dimiliki oleh Plus Xnergy dipercayai dapat menjimatkan sehingga 90% daripada bil elektrik bulanan isi rumah. Pengguna kini boleh menyalurkan peruntukan bagi bayaran elektrik grid bulanan untuk mengimbangi kos pemasangan sistem suria, yang hanya akan melibatkan pertambahan perbelanjaan bulanan yang sangat sedikit atau tiada kenaikan langsung. Selepas membuat pembayaran sewa selama kira-kira lima tahun, sistem tenaga suria tersebut akan menjadi milik penghuni, di samping penjimatan yang begitu ketara. Dalam tempoh pembayaran dibuat, kos pengendalian dan penyelenggaraan akan ditanggung oleh Plus Xnergy, tanpa sebarang kos tersembunyi. Ia juga mempunyai tempoh jaminan prestasi sehingga 25 tahun, yang menguntungkan pengguna secara berterusan.
Walaupun dalam situasi pandemik ini, Plus Xnergy mempunyai pandangan yang optimistik berkenaan dengan pertumbuhan pasaran dan yakin dengan unjuran pertumbuhan hasil pendapatan sebanyak RM500 juta dalam masa tiga tahun. Dengan minat dan permintaan dari rantau lain, syarikat tersebut juga meramalkan pengembangan perniagaan ke dua buah negara lain. Di samping itu, terdapat juga rancangan untuk memperoleh projek tenaga suria berskala besar (LSS4) sehingga 100MW, serta untuk mempelbagaikan perniagaan syarikat kepada Sistem Penyimpanan Tenaga (ESS), pengecas kenderaan elektrik (EV) dan sistem suria
terapung.
BACA SETERUSNYA: Mitsubishi Power manfaatkan ammonia sebagai bahan bakar
Discussion about this post