KUALA LUMPUR – Maybank Investment Bank dan UOB Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan mereka sebagai penaja jamin dan ‘bookrunner’, secara bersama, untuk kemudahan Islam bernilai RM2.0 bilion yang disediakan kepada Malayan Cement Berhad (MCB). Kemudahan ini akan digunakan untuk membiayai pengambilalihan 10 syarikat dalam sektor simen dan konkrit siap campur di Malaysia oleh MCB dari syarikat induk, YTL Cement Berhad (YTL Cement). Kemudahan pembiayaan berjangka bersindiket Islam ini adalah berdasarkan prinsip Syariah Komoditi Murabahah.
MCB akan menggunakan kemudahan Islam ini untuk membiayai pertimbangan tunai bagi pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti 10 syarikat dan anak syarikat masing-masing (Syarikat yang Diambilalih) dari YTL Cement untuk jumlah pertimbangan yang dianggarkan pada RM5.2 bilion.
Encik Fad’l Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Investment Bank, berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MCB atas kepercayaan yang diberikan kepada Maybank untuk mengambil bahagian dalam transaksi mercu tanda ini sebagai Pengatur Utama Dimandatkan, ‘Bookrunner’ dan Penaja Jamin untuk penyelesaian pembiayaan Islam serta Penasihat Utama Tunggal untuk pelaksanaan pengambilalihan dan juga Penasihat Syariah untuk kemudahan Islam. Kami berharap untuk bekerjasama lebih lanjut dengan MCB apabila syarikat meneruskan perjalanan transformatif sebagai salah satu daripada perintis industri dalam bahan binaan tempatan.
Puan Ng Wei Wei, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia berkata, “Kami berbesar hati menyokong keperluan pembiayaan MCB bagi transaksi yang amat penting ini. Sebagai Pengatur Utama Dimandatkan, ‘Bookrunner’ dan Penaja Jamin untuk transaksi ini, kami menggunakan keupayaan pembiayaan Islam kami dalam membantu MCB memenuhi aspirasi perkembangannya. Perjanjian ini juga dimeterai berikutan penerimaan anugerah Sukuk Baharu Terbaik (Korporat) dan Sekuritisasi Terbaik di Malaysia di Anugerah Kewangan Islam
The Asset Triple A pada Ogos 2021, satu lagi bukti komitmen kami dalam memenuhi keperluan kewangan pelanggan kami.”
Dato’ Sri Michael Yeoh Sock Siong, Pengarah Urusan YTL Cement and MCB berkata, “Usaha pengambilalihan oleh MCB ini akan membolehkan kami memperkemas dan meningkatkan kecekapan operasi dalam memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman masing- masing. Penggabungan ini akan membantu kami mencapai skala ekonomi, meningkatkan kehadiran pasaran, mengurangkan fungsi pendua, dan akhirnya memberikan penyelesaian yang lancar kepada pelanggan kami. Kami merasa sukacita atas suatu pencapaian utama yang akan membawa kami maju selangkah kehadapan dalam merealisasikan rancangan pertumbuhan bagi MCB. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Maybank Investment Bank dan UOB Malaysia atas kerjasama mereka ketika kami menempuhi fasa baru dalam perjalanan korporat kami.”
BACA SETERUSNYA: Principal Asset Management memperkenalkan Dana Principal Biotechnology Discovery
Discussion about this post