KUALA LUMPUR – Parlimen hari ini bermesyuarat bagi sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bermula hari ini selepas rancangan negara yang bakal digunakan untuk tempoh 2021 hingga 2025 ini dibahaskan.
Sebanyak 106 daripada 222 ahli parlimen, yang merangkumi kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan selepas pembentangan RMKe-12 oleh Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob, yang berlangsung pada 27 September lepas.
Dalam perbahasan yang berlangsung selama empat hari tersebut bermula dari 28 September, terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen. Antaranya ialah isu kesihatan, vaksin bagi penularan COVID-19, pembangunan rantau Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), kemiskinan, impak pasca pandemik, dan pengurusan bekalan air negara.
Takwim bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas 2021 yang boleh didapati di portal parlimen menunjukkan bahawa sesi penggulungan ini dijadualkan untuk berlangsung sehingga hari Khamis.
Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa persidangan pada hari ini bermula dengan sesi Waktu Pertanyaan Menteri. Soalan berkaitan sekuriti tenaga di negara ini dengan berlakunya krisis tenaga global dan hala tuju negara dalam meningkatkan sekuriti tenaga diajukan untuk perdana menteri.
Soalan yang diajukan kepada Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya adalah cadangan kementerian dalam menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA (online travel agent). Bagi Menteri Perpaduan Negara pula tentang peranan Tabika Perpaduan dalam memupuk sikap perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan tahap kebolehpasaran graduan semasa pandemik Covid-19 dan langkah bagi menyediakan graduan yang berdaya saing di pasaran pekerjaan.
Turut ditanya ialah soalan mengenai keberkesanan modul sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) yang diajukan oleh Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) kepada Menteri Pendidikan.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini.
BACA SETERUSNYA: Kadar vaksinasi Malaysia menghampiri 90 peratus
Discussion about this post