KUALA LUMPUR – Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) diberi kelulusan bersyarat sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua bagi ppoppulasi dewasa, iaitu mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa perkara itu diluluskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang telah bersidang bagi kali ke-365 hari ini.
“Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany sebelum ini telah diluluskan oleh pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun lepas.”
“Ini merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini,” katanya juga dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham menambah dengan berkata bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat yang berkualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa, bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif.
“KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.
BACA SETERUSNYA: Malaysia masuk senarai pemerhatian EU bagi dasar cukai
Discussion about this post