KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob, telah membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Dewan Negara, hari ini.
Rancangan Malaysia yang dipakai dari 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lepas selepas pembentangan yang berlaku pada 27 Sept lepas dan dibahas oleh 106 Ahli Parlimen.
Ia yang menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun, selepas ini akan melalui sesi perbahasan ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara.
Ismail Sabri, ketika membentangkan perancangan lima tahun berkenaan, berkata RMKe-12 adalah pelan pembangunan yang menyeluruh dan boleh digunapakai untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama.
Bermatlamatkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, beliau berkata pembaharuan yang diperkenalkan dalam RMKe-12 meliputi tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.
“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (atau CSO) serta rakyat dalam penggubalan dan pelaksanaan rancangan ini.”
“Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis berkembar ini (ekonomi dan kesihatan). Kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion bagi memenuhi keperluan RMK12, terutamanya untuk membiayai projek pembangunan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata dalam keadaan kewangan semasa yang terhad, tumpuan perbelanjaan pada tahun ini dan 2022 adalah untuk melindungi nyawa dan kehidupan serta memenuhi komitmen projek sambungan.
Beliau juga berkongsi bahawa bagi memastikan pencapaian yang telah ditetapkan dalam RMKe-12, kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) di bawah penyelarasan Unit Perancang Ekonomi yang dijangka akan disiapkan pada November ini.
Ismail Sabri berkata PPD itu akan menjajarkan strategi dan inisiatif dengan petunjuk prestasi utama (KPI) serta kementerian dan agensi penyelaras dan pelaksana yang bertanggungjawab.
“Satu jawatankuasa pemantauan akan ditubuh dan dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau pelaksanaan RMKe-12 dengan rapi. Saya akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemantauan yang pertama pada pertengahan bulan November ini.
“Saya juga mengalu-alukan maklum balas daripada semua ahli Yang Berhormat berhubung cadangan pelaksanaan dasar dan strategi RMKe-12 ini,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua strategi dan inisiatif di bawah RMKe-12 akan dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Ismail Sabri berkata meskipun terdapat pihak yang meragui pencapaian sasaran RMKe-12, namun beliau tetap yakin dengan kerjasama semua pihak dan semangat Keluarga Malaysia akan memastikan matlamat yang ditetapkan mampu dicapai.
Justeru, perdana menteri menyeru supaya usaha yang lebih jitu dan tersusun dapat diteruskan bagi memantau dan melaksana semua strategi serta inisiatif di bawah RMKe-12.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata Malaysia hampir berjaya dalam perjuangan memerangi impak pandemik Covid-19, tetapi masyarakat tidak seharusnya leka dan alpa kerana wabak itu masih belum berakhir, selain bersedia memasuki fasa endemik untuk meneruskan kehidupan bersama kebiasaan baru.
“Demi Keluarga Malaysia, kerajaan akan meneruskan usaha untuk melindungi nyawa dan kehidupan, di samping memberikan tumpuan kepada agenda untuk memulihkan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata Belanjawan 2022 akan dibentangkan pada 29 Okt ini oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan memperincikan butiran program dan projek bagi melaksanakan strategi serta inisiatif di bawah RMK12 selain menyokong pencapaiannya.
“Saya optimis, dengan tanda-tanda pemulihan ekonomi pada masa ini serta agenda pembangunan negara dalam RMKe-12 dan inisiatif Bajet (Belanjawan) 2022 yang akan diumumkan sedikit masa lagi, kita mampu memacu negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.
BACA SETERUSNYA: PKS perlu diberi peluang untuk penuh sepenuhnya
Discussion about this post