KUALA LUMPUR – Prospek industri pelancongan negara dijangka cerah dengan landskap ekonomi lebih positif serta peluang meraih manfaat besar susulan keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri, kata pakar ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah membabitkan kalangan dewasa yang mendapat vaksinasi lengkap itu akan turut menyaksikan 2022 sebagai tahun lebih baik berbanding 2021 apabila rakyat perlu akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada pertengahan tahun ini.
“Industri pelancongan akan meraih manfaat dengan pantas. Pada tahun lepas misalnya, perbelanjaan perlancongan domestik merundum ke paras RM40.4 billion berbanding RM103.2 billion pada 2019.
“Justeru, tempoh suku keempat tahun ini akan menyaksikan pertumbuhan lebih baik berbanding suku ketiga dengan bermulanya kebenaran merentas negeri itu,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga menyifatkan keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad, sebagai penting dari segi memastikan kelangsungan hidup rakyat, ekonomi negara serta kesihatan awam.
Menurutnya, pandemik Covid-19 terbukti memberi impak ketara sehinggakan banyak perniagaan dibebani masalah kewangan serta terpaksa ditutup manakala terdapat golongan berpendapatan tinggi atau T20 yang sebaliknya kini menjadi kelompok berpendapatan sederhana atau M40.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pergerakan rentas negeri tersebut mampu memperkasa semula sektor ekonomi berikutan aliran tunai menerusi pembelian dan perbelanjaan orang ramai menerusi perusahaan runcit, perhotelan dan penyediaan makanan dan minuman (F&B).
“Ia juga bertepatan dengan langkah untuk membangkitkan semula ekonomi tempatan yang telah malap akibat pelaksanaan kawalan pergerakan bagi jangka tempoh yang lama.”
BACA SETERUSNYA: Belanjawan 2022 mengetengahkan sektor pelancongan, peruncitan, PKS
Discussion about this post