KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap Bajet 2022 akan menawarkan banyak insentif kepada industri pelancongan dengan bantuan bersasar terutama untuk pengusaha dan agensi pelancongan.
Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata persatuan itu menyambut baik kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul baru-baru ini bahawa Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan yang terjejas teruk disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Katanya, ia berikutan laporan daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bahawa keseluruhan industri pelancongan mengalami kerugian kira-kira RM135 billion pada 2020 dan melebihi RM165 bilion pada tahun ini.
“Untuk itu, MATTA berharap bajet kali ini akan ‘bermurah hati’ terhadap industri pelancongan dengan bantuan bersasar dan spesifik, terutama kepada pengusaha pelancongan dan agensi pelancongan yang menjadi penyumbang serta pemangkin utama dalam pembangunan industri pelancongan.
Mengulas lanjut, Kok Liang berkata disebabkan oleh pandemik, strategi pelancongan semasa akan menumpukan kepada pasaran domestik sebelum global.
“Oleh itu, Bajet 2022 harus memberi tumpuan kepada penyediaan pakej rangsangan perjalanan dan insentif cukai untuk perjalanan peribadi dan korporat.
“Memandangkan keterbatasan dalam pelancongan domestik, kerajaan harus menyusun kerangka kerja dengan cepat dan penyelesaian perjalanan untuk mempercepat pembukaan sempadan untuk pelancong antarabangsa.
“Selepas menunggu selama 20 bulan sambil melihat negara-negara lain yang berjaya membendung COVID-19 dan menghidupkan kembali industri pelancongan mereka, peserta industri pelancongan Malaysia tidak sabar untuk memulakan dan menantikan inisiatif perkongsian awam-swasta yang pintar,” katanya.
Beliau menambah, MATTA ingin mengulangi pendirian bahawa Kementerian Kewangan perlu memberikan bantuan kewangan yang praktikal melangkaui insentif cukai, atau rebat cukai atau penangguhan ansuran cukai untuk perusahaan pelancongan.
“Ini kerana, kami tidak dapat memperoleh keuntungan kerana mencatatkan kerugian perniagaan pada tahun 2020 dan 2021. Industri pengembaraan dan pelancongan Malaysia adalah salah satu sektor yang paling teruk terjejas oleh pandemik sejak Mac 2020.
“Pada 2019, industri pengembaraan dan pelancongan adalah sektor ekonomi ketiga terbesar di negara ini (selepas pembuatan dan komoditi), menghasilkan lebih daripada RM89 bilion dengan 26 juta kedatangan pelancong antarabangsa ke negara ini.
“Pendapatan RM89 bilion pada tahun 2019 adalah lebih tinggi daripada pendapatan eksport minyak sawit iaitu RM70 billion dan sarung tangan getah yang berjumlah RM22 bilion,” katanya.
-BERITA HARIAN
BACA SETERUSNYA: Belanjawan 2022: Bantuan kewangan kepada B40, golongan rentan
Discussion about this post