KUALA LUMPUR – CTOS IDGuard, biro pencegah penipuan permohonan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, telah berjaya mencegah permohonan kredit tipuan disahkan bernilai RM28 juta dalam masa 12 bulan pertama pengoperasiannya, selain permohonan mencurigakan bernilai RM51 juta yang didedahkan kepada rakan-rakan bank.
Kumpulan terawal terdiri daripada Maybank, RHB, CIMB, Alliance Bank dan Ambank telah disertai oleh BMW Financial Services. Manakala, Hong Leong dan enam lagi bank sedang dalam proses pelaksanaan.
“Kami sedang membuat kemajuan besar dalam usaha memerangi penipuan permohonan kredit, dan peningkatan bilangan institusi kewangan yang mengambil bahagian bakal melonjakkan lagi keberkesanan CTOS IDGuard,” tegas Dennis Martin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, iaitu syarikat pemegang CTOS Data Systems Sdn Bhd.
“Kini, rakan-rakan bank kami merangkumi lebih 65% jumlah aset perbankan di Malaysia. Apabila jumlah peratusan ini meningkat dalam bulan-bulan akan datang, CTOS IDGuard akan menjadi platfom yang paling berkesan untuk menangkis penipuan permohonan di pasaran. Dengan penurunan kejadian penipuan permohonan, kami akan dapat membantu pihak institusi kewangan menyalurkan manfaat penjimatan berupa kadar dan tawaran yang lebih baik secara terus kepada pelanggan bagi kredit yang mereka mohon.”
Data CTOS IDGuard bagi tempoh 12 bulan terakhir menunjukkan 52% daripada amaran penipuan yang dikeluarkan adalah daripada permohonan kad kredit. Lebih ketara lagi, separuh daripada amaran ini adalah permohonan yang dibuat oleh penipu atau sindiket yang telah dikenali. Ini berjaya dicapai melalui analisis oleh CTOS IDGuard ke atas kumpulan data yang dikongsikan oleh peserta.
Dalam usaha memastikan penambahbaikan IDGuard secara berterusan, GBG sedang berusaha menggabungkan teknologi pembelajaran mesin pemenang anugerah miliknya untuk meningkatkan keberkesanan sistem dari segi ketepatan pengesanan penipuan, kadar positif palsu yang lebih rendah, dan menambahkan lagi kecekapan pengoperasian.
“Dengan adanya hasil dan pengalaman yang baik ini, beberapa bank sedang memperluaskan penggunaan konsorsium penipuan mereka supaya meliputi lebih banyak produk kewangan digital termasuk juga pinjaman korporat. Untuk menguruskan jumlah pemohonan yang lebih tinggi dan kes penggunaan yang lebih kompleks, kami menggunakan teknologi pembelajaran mesin kami untuk meningkatkan ketepatan pengesanan penipuan dan mencegah vektor yang muncul untuk CTOS IDGuard,” jelas Dev Dhiman, Pengarah Urusan APAC, GBG.
“Di seluruh Asia Tenggara, pembelajaran mesin adalah kaedah penyelesaian yang diutamakan institusi-institusi kewangan bagi penipuan dan pencegahan dalam kaji selidik kami baru-baru ini. Dengan menggabungkan pembelajaran mesin ke dalam CTOS IDGuard, ia akan membantu memperkukuh pengurusan jenayah kewangan masa hadapan khususnya dalam saluran digital bagi bank-bank peserta,” kata Dhiman.
Data kaji selidik daripada GBG telah menunjukkan bahawa banyak institusi kewangan sedar bahawa ancaman daripada penipuan permohonan berkemungkinan besar bakal melonjak, dengan 51% institusi kewangan Malaysia menjangka kes-kes melibatkan kecurian identiti akan naik dan 54% menjangka perbuatanpenipuan akan naik pada tahun hadapan.
Pandemik koronavirus sedunia telah mempercepat peralihan ke platform digital dan peningkatan perbankan digital menimbulkan kekhuatiran dari segi keselamatan. Peningkatan penggunaan perkhidmatan dalam talian oleh pihak bank telah memudahkan pelanggan memohon produk-produk perbankan secara digital. Ia juga telah meningkatkan risiko yang dihadapi industri perbankan akibat transaksi secara maya ini.
Selain melaksanakan eKYC bagi saringan identiti pelanggan secara digital, IDGuard menjadi sebagai kawalan selamat tambahan untuk mencegah berlakunya penipuan dalam permohonan digital.
BACA SETERUSNYA: 3 Perkara Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Akaun Bank Anda Digodam
Discussion about this post