KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) untuk memulakan integrasi sistem pembayaran runcit masa nyata DuitNow Malaysia dan PayNow Singapura adalah antara topik yang dibincangkan dengan Singapura, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Fasa pertama rangkaian itu akan dilancarkan pada suku keempat 2022, membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian memindahkan dana antara Malaysia dan Singapura dalam masa nyata melalui telefon mudah alih.
Semasa lawatan kerjanya, Tengku Zafrul membincangkan pelbagai topik merangkumi perdagangan, ekonomi dan pelaburan dengan beberapa menteri Singapura.
Beliau juga turut membincangkan mengenai kemungkinan untuk memulihkan kesalinghubungan langsung antara Bursa Saham ASEAN, terutama manfaat yang akan dibawa misalnya untuk ASEAN menjadi kelas aset yang tersendiri, serta mudah tunai dan ketangkasan yang lebih baik bagi setiap pasaran yang mengambil bahagian di rantau ini.
Selain itu, Tengku Zafrul juga menyentuh aspek mengenai penyambungan semula projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang memaparkan hubungan dua hala yang erat dan teguh di antara kedua-dua negara, dan keinginan bersama untuk memperkukuh kerjasama menang-menang.
Discussion about this post