KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith berkata kerajaan yakin pendapatan isi rumah bulanan mencecah RM10,000 menjelang 2025.
Beliau berkata ia boleh dicapai melalui strategi makro yang akan memulihkan dan mengukuhkan asas ekonomi.
Strategi tersebut termasuklah usaha untuk meningkatkan produktiviti, menggalakkan pelaburan berkualiti, mempercepatkan peralihan struktur ekonomi, memanfaatkan penyertaan dalam rantaian nilai global, meningkatkan kadar pampasan pekerja, dan memastikan penjajaran fiskal jangka panjang.
Semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Eddin berkata sasaran ini adalah realistik berdasarkan purata pendapatan isi rumah yang meningkat sebanyak 7.0% setahun dalam tempoh 10 tahun dari 2009 hingga 2019.
Beliau menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang ingin mengetahui rancangan kerajaan untuk memastikan Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.
Selain itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan juga menyasarkan untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah daripada RM7,089 pada 2020 kepada RM10,065 pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 7.3% setahun.
Eddin berkata sasaran yang ditetapkan itu juga selari dengan jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada harga semasa 7.4% setahun di bawah RMK-12 dan matlamat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju.
“Peranan sektor swasta akan terus diperkukuh untuk meneruskan peranan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Bagi mengukuhkan peranan sektor swasta, Dasar Aspirasi Pelaburan Negara akan menjadi asas kepada pembaharuan menyeluruh dalam semua inisiatif dan dasar berkaitan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata institusi pelaburan akan disusun semula untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang akan menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang kompleks, serta meningkatkan penggunaan teknologi canggih.
“Kerajaan juga komited untuk menambah dan mempelbagaikan sumber pendapatan, termasuk menyediakan program peningkatan pendapatan dan kapasiti, menambah baik akses kepada keperluan asas, menggalakkan keusahawanan dan pelaburan ke arah portfolio menjana pendapatan, dan meningkatkan sistem perlindungan sosial,” tambahnya.
– Sumber berita dari BERNAMA
Sertai kumpulan Telegram kami untuk mendapatkan berita-berita kewangan terkini!
Discussion about this post