KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempercepatkan proses pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal sebagai salah satu pembaharuan fiskalnya.
Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, berkata dengan kadar perbelanjaan mengurus semasa pada hampir 100% kutipan cukai, kerajaan tidak akan dapat mengelak daripada meningkatkan hutang untuk menampung perbelanjaan pembangunan.
“Kementerian Kewangan (MoF) telah mencadangkan untuk membentangkan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal, jadi saya harap MOF tidak melengahkan dan mengadakan perbincangan dengan cepat untuk membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat,” katanya kepada media di Parlimen baru-baru ini.
Beliau juga meminta kerajaan menaikkan siling hutang negara kepada 70% kerana percaya keadaan ekonomi negara yang lembap memerlukan rangsangan tambahan dengan menjana hutang baharu.
Noor Amin berkata, unjuran nisbah hutang MoF sebanyak 66% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah melebihi had berkanun hutang yang diluluskan melalui pindaan yang dibuat pada 2020. Pindaan itu dibuat untuk menangani kesan COVID-19 di bawah Pinjaman ( Akta Tempatan) 1959 dan Akta Pembiayaan Kerajaan 1983.
“Asas kebimbangan saya adalah berkaitan jawapan bertulis yang menyatakan 43.4% daripada hutang kerajaan akan matang dalam tempoh lima tahun,” tambahnya.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa unjuran nisbah hutang 66% tahun ini agak optimis dengan perbelanjaan PRIHATIN, PENJANA dan PEMERKASA masing-masing pada paras 65%, 57.3% dan 38.2%.
“Dengan mengambil kira jumlah peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM 322.1 bilion sebagai penanda aras dan jumlah kutipan hasil kira-kira RM234.0 bilion, ini bermakna perbelanjaan defisit adalah sekitar RM88 bilion.
“Pengenalan cukai baharu pada ketika negara masih belum pulih sepenuhnya daripada wabak itu akan membebankan lagi rakyat yang masih terkapai-kapai akibat kesan kenaikan harga barangan,” katanya.
Sertai kumpulan Telegram kami untuk kemas kini terkini!
Discussion about this post