Kuala Lumpur, 1 Ogos 2022 – Platform dropship terbesar di Malaysia, Kumoten kini tersenarai dalam Malaysia Book of Records – MBOR dan mengintai perkembangan ke pasaran Singapura dan Indonesia tahun ini.
Menerusi katalog yang mengandungi lebih daripada 53,000 produk, platform berkenaan menerima pengiktirafan kerana memiliki koleksi terbesar dalam pasaran tempatan justeru meraih gelaran Platform Dropship Terbesar di Malaysia oleh MBOR. Ini bermakna pengguna boleh melakukan jualan dengan memilih dan menyelaraskan sejumlah 53,000 produk ke kedai Lazada atau Shopee mereka tanpa membeli atau menyimpan stok barangan berkenaan.
“Kami memulakan Kumoten di bawah OGN Online Sdn Bhd pada 2014 dengan misi untuk membantu penjual dalam talian memperoleh pendapatan daripada e-dagang dengan mudah, cepat dan mempunyai risiko serendah mungkin. Perniagaan kami berkembang pesat dan secara rasminya, kini kami mempunyai 53,598 barangan di dalam sistem,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumoten, Isaac Leong.
Isaac dan abangnya, Yew Meng bersama-sama menubuhkan syarikat tersebut yang memperkasa dan membolehkan golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Disokong oleh kepercayaan dan keyakinan daripada Cradle Fund Sdn Bhd dan Commerce.Dotasia Ventures Sdn Bhd – pembina usaha niaga diketuai oleh Ganesh Kumar Bangah, Kumoten telah mencipta peluang pendapatan untuk ramai rakyat Malaysia. Antara mereka yang mendapat manfaat daripada usaha berkenaan adalah mereka yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan, ibu bapa tunggal, pesara dan mereka yang kehilangan mata pencarian.
“Kami berbangga untuk menyatakan bahawa kami telah membantu sesetengah masyarakat mendapatkan sekurang-kurangnya pendapatan tambahan untuk menyara keluarga mereka dan menghadapi kenaikan kos sara hidup,” kata Isaac.
Yew Meng menyatakan bahawa Kumoten bekerjasama dengan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi inisiatif kerajaan Malaysia di bawah Inisiatif E-dagang Belanjawan 2021 yang terbukti sangat berjaya. Di bawah inisiatif ini, Kumoten membolehkan lebih daripada 3,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dan individu untuk menjana pendapatan daripada perniagaan secara dropship di Lazada dan Shopee.
“Kami juga bekerjasama dengan PERKESO di bawah inisiatif PEMERKASA yang dilaksanakan oleh Pejabat Perdana Menteri. Menerusi program ini, hampir 1,200 rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan ketika pandemik menyertai usaha ini,” tambahnya.
Daripada serendah RM69, Kumoten menyediakan risiko paling rendah kepada individu yang mahu memulakan perniagaan. Tidak seperti perniagaan tradisional, peniaga dropship tidak perlu membeli atau menyimpan stok untuk jualan dan seseorang itu boleh mula menjual barangan mereka serta-merta.
Tarikannya yang mesra pengguna sama ada kepada pengguna lelaki atau wanita, platform Kumoten boleh digunakan oleh pelbagai pihak – golongan kurang upaya fizikal, suri rumah, pesara malah golongan muda yang bekerja. Pada asasnya, sesiapa sahaja yang memerlukan pendapatan sampingan.
Apabila akaun Kumoten telah diselaraskan dengan akaun Lazada dan/atau Shopee masing-masing, peniaga dropship akan terus ke bahagian produk laman sesawang Kumoten dan memilih barangan yang mahu dijual di kedai mereka. Seterusnya, barangan itu akan dipaparkan di bahagian MyStore yang mana peniaga dropship perlu klik pada ‘Sync’ agar maklumat produk berkenaan muncul di kedai Lazada dan/atau Shopee mereka dengan segera.
Tidak perlu memuat turun atau memuat naik kerana semua imej, butiran, harga jualan runcit dan data lain yang diperlukan dimuat naik secara automatik menerusi ciri-ciri ‘Select’ dan ‘Sync’.
Platform Dropship Kumoten membolehkan kemas kini baki stok secara automatik untuk semua peniaga dropship yang terbabit. Apabila terdapat tempahan baharu, kuantiti baki stok dikemas kini di akaun peniaga dropship untuk mengelakkan situasi terlebih jualan. Apabila tempahan keluar dari gudang atau dihantar ke pembeli, sistem Kumoten mengemas kini status pelunasan di Lazada/Shopee.
“Kami akan terus melaksanakan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk meneliti produk baharu yang boleh membantu peniaga dalam talian menjana pendapatan pada kadar yang lebih pantas dan lebih mudah. Kami juga merancang untuk mengambil lebih ramai peniaga dropship,” kata Isaac, sambil menambah bahawa syarikat berkenaan secara berterusan meneliti penyelesaian baharu yang boleh membantu golongan PKS untuk menyertai rangkaian meluas usahawan dropship di Kumoten.
Berikrar untuk menambah baik, menghasilkan inovasi dan membantu pelanggan mencari penyelesaian terbaik, Isaac dan Yew Meng merancang untuk menembusi pasaran Jakarta, Indonesia dan Singapura pada tahun ini.
“Memperoleh pengiktirafan daripada Buku Rekod Malaysia sememangnya pengiktifaran besar bagi pasukan Kumoten dan kami tetap teguh dengan misi kami untuk membantu golongan peniaga dalam talian. Kami yakin untuk mencapai sasaran ini, melihatkan perkembangan pesat dan kejayaan kami selama ini,” tambah Isaac.
Discussion about this post