DEWAN BANKUET PERSADA PLUS, 13 OKTOBER 2022- Saya serta seluruh warga PLUS mengucapkan Selamat Datang ke Persada PLUS. Sesungguhnya, kami amat menghargai kehadiran Dato’ Suriani Dato’ Ahmad mewakili YB Tan Sri Noh Hj Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta delegasi kementerian dan para hadirin ke ‘PLUS Procurement Day’ dan Majlis Penghargaan Vendor 2022, pada hari ini.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, ‘PLUS Procurement Day 2022’ adalah majlis yang julung kali dianjurkan oleh PLUS untuk mengiktiraf sumbangan vendor-vendor dan kontraktor-kontraktor kami dalam menyokong pengoperasian efisien lebuh raya kendalian PLUS. In shaa Allah, kami berhasrat untuk menganjurkan majlis seumpama ini sekerap boleh untuk memastikan vendorvendor dan kontraktor-kontraktor kami mendapat maklumat terkini dari segi arah tuju syarikat mahupun dari segi perkembangan teknologi dan keperluan pelanggan kami.
Untuk makluman YB Tan Sri serta hadirin sekalian, PLUS telah beroperasi selama lebih daripada 30 tahun. Pelbagai onak duri serta rintangan telah kami hadapi, daripada krisis-krisis kewangan yang berlaku sebelum ini sehinggalah kepada pandemik Covid-19 yang berlarutan selama lebih daripada 2 tahun. Lebuh raya lebuh raya kami yang lesu terutama sekali sepanjang tempoh kawalan pergerakan dikuatkuasakan kini telah kembali ceria dengan kehadiran ribuan kenderaan yang menggunakan lebuh raya kami bagi urusan-urusan seharian.
Dalam pada kami bersyukur dengan kehadiran ribuan kenderaan di lebuh raya-lebuh raya kami, kami tetap menyedari cabaran besar yang harus didepani dalam memastikan infrastruktur serta kualiti perkhidmatan sentiasa dalam tahap yang optimum. Ini penting untuk mendokong salah satu objektif syarikat iaitu budaya mengutamakan pelanggan ataupun ‘Customer Centricity’.
Selain daripada itu, syarikat turut peka dengan tanggungjawab kami sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di dalam mendokong agenda kelestarian. Ini selaras dengan harapan kerajaan yang dizahirkan melalui perbentangan bajet 2023 baru-baru ini di bawah Strategi 3: Kecekapan
Penyampaian Perkhidmatan Awam yang menyatakan peranan syarikat-syarikat GLC dalam mendorong agenda kelestarian termasuklah saranan untuk melaksanakan perolehan hijau.
Untuk mencapai objektif-objektif ini, suka untuk saya nyatakan bahawa pihak syarikat akan sentiasa menambahbaik operasi Perolehan kami supaya lebih strategik dan berdaya saing. Selain menumpukan usaha untuk meningkatkan operasi perolehan untuk menjadi lebih efisien melalui inisiatif pendigitalan serta automasi, kami juga akan menumpukan lebih perhatian kepada pengukuhan hubungan antara pihak-pihak berkepentingan, terutama sekali bersama para vendor.
Inisiatif Hijau dalam Perolehan PLUS juga akan diperkenalkan mulai tahun 2023 bagi memacu implementasi perolehan hijau. Advokasi berterusan berkenaan konsep perolehan hijau akan diberikan dari masa ke masa kepada vendor-vendor PLUS. Saya amat berharap agar PLUS dan vendor-vendor lantikan PLUS akan bersama-sama berganding bahu untuk memastikan objektifobjektif yang digariskan ini dapat dicapai.
Susungguhnya kami amat bersyukur kerana telah menerima sokongan yang padu dari pelbagai pihak, terutama sekali sokongan dari pihak kerajaan, pihak-pihak berkuasa termasuk vendorvendor kami. Tanpa tonggak kekuatan ini dan pihak berkepentingan yang lain, PLUS tidak akan dapat mencapai status sebagai salah satu di antara penyumbang utama kepada pembangunan negara pada hari ini.
Hari ini, kita berada di sini untuk merakamkan penghargaan kepada vendor-vendor yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong PLUS bagi melaksanakan tanggungjawab kami dari segi operasi, serta tanggungjawab sosial dalam mencapai matlamat kelestarian PLUS.
Sehingga hari ini, lebih daripada 1,200 vendor bumiputera telah berdaftar bersama PLUS. Vendorvendor ini terdiri daripada pelbagai kategori vendor termasuklah kontraktor, perunding dan pembekal produk yang menawarkan produk dan perkhidmatan dalam pelbagai bidang kerja antaranya penyelenggaraan, naik taraf, pengoperasian dan teknologi lebuh raya, ICT dan perkhidmatan korporat.
Sebelum pandemic COVID-19 melanda, PLUS membelanjakan lebih daripada RM1 billion bagi aktiviti Perolehan pada setiap tahun. Walau bagaimanapun, semasa pandemic COVID-19 melanda, perbelanjaan Perolehan PLUS terpaksa dikurangkan sehingga melebihi daripada 20% akibat kekangan kewangan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan. Di sebalik penurunan itu, purata perbelanjaan Perolehan PLUS sepanjang 5 tahun yang lalu masih merekodkan sekitar RM900 juta setahun. Perbelanjaan perolehan PLUS ini telah memberi manfaat kepada lebih 600 vendor yang berkelayakan dari segi teknikal dan komersial.
Aktiviti-aktiviti perolehan di PLUS juga telah membuka ruang perniagaan kepada lebih ramai subkontraktor dan pembekal untuk turut sama terlibat dalam industri lebuh raya di negara ini. Ia sekaligus dapat memperluaskan peluang perniagaan yang lebih banyak termasuklah di dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini juga sebahagian daripada inisiatif syarikat ke arah usaha memperkasa usahawan era baharu agar selari dengan pembangunan yang lebih lestari.
Penglibatan PLUS di dalam Program Pembangunan Vendor (PPV) telah bermula sejak tahun 2015 sebagai ‘implementor’. Seterusnya, pada 18 Oktober 2021 PLUS telah maju setapak lagi dengan menjadi ‘Anchor’ selepas menandatangani MoU bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Di bawah program PPV ini, PLUS berpeluang secara aktif dalam membantu vendor-vendor yang berdaftar untuk memperkembangkan potensi mereka dengan lebih meluas. Suka untuk saya umumkan beberapa vendor di bawah program PPV ini telah berjaya mencapai tahap yang diperlukan untuk “Practitioner & Best in Class” kategori seperti yang terkandung di dalam Malaysia Business Excellence Framework (BEF). Pihak syarikat optimis, banyak lagi vendor yang terlibat akan dapat mencapai tahap yang sama, sekaligus memberi manfaat kepada kesemua pihak.
Penganjuran ‘PLUS Procurement Day’ pada hari ini bukan sahaja majlis untuk menghargai para vendor, malahan juga ia memberi ruang yang seluasnya untuk para vendor berinteraksi bersama pihak PLUS untuk segala hal yang berkaitan dengan sistem dan perolehan. Oleh itu, saya berharap para vendor dapat menggunakan platform pada hari ini dengan sebaik-baiknya agar kita semua dapat menimba pengalaman dan ilmu demi pembangunan bersama yang lebih baik.
Segala perkongsian yang bakal disampaikan dalam program ini dan juga majlis penghargaan yang akan dianugerahkan kepada vendor terpilih sebentar lagi diharap dapat memberikan maklumat, peluang dan galakan untuk terus bekerjasama mendokong PLUS bagi mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan.
Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada vendor yang berjaya mendapat penghargaan pada hari ini. Bagi mereka yang tidak berjaya, jangan putus asa. Saya percaya, anda masih boleh berusaha untuk menjadi vendor yang terbaik kepada PLUS pada masa akan datang.
Akhir kata, saya berharap vendor-vendor PLUS bukan sahaja mampu menyokong kecekapan pengoperasian lebuh raya, malahan mereka juga akan menjadi kunci kepada kejayaan usaha masa depan kami untuk menjadi “Smart Highway of the Future”.
Terima kasih atas komitmen anda semua. Kami sangat menghargai sokongan berterusan anda untuk kita pergi melangkah lebih jauh. Ayuh berganding bahu bersama PLUS untuk “Partnership towards sustainability”.
Baca Selanjutnya: MAJLIS ‘PLUS PROCUREMENT DAY 2022
Discussion about this post