DEWAN BANKUET PERSADA PLUS, 13 OKTOBER 2022- PLUS MALAYSIA BERHAD PROCUREMENT DAY 2022
1. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih atas kesudian PLUS mengundang saya dan KUSKOP untuk merasmikan dan menyempurnakan PLUS Procurement Day serta Majlis Pengiktirafan Prestasi Vendor PLUS 2022 pada pagi ini.
2. Saya dimaklumkan bahawa program ini merupakan julung kalinya diadakan oleh PLUS dalam usaha untuk mengukuhkan lagi rangkaian kerjasama bersama vendor mereka. Syabas dan tahniah diucapkan kepada PLUS kerana berjaya mengadakan program seumpama ini, terutamanya pada fasa pasca pandemik ini yang mana para vendor kita memerlukan sokongan yang teguh terutamanya daripada
syarikat-syarikat GLC seperti PLUS. Ternyata PLUS berjaya memainkan peranannya sebagai Rakan
Negara.
3. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang saya terajui, amat menitik beratkan pembangunan usahawan terutamanya di kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sesuai dengan peranan Kementerian. Oleh itu, bagi menjamin kesinambungan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dan mencapai objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, pihak kementerian telah pun menggagaskan Program Pembangunan Vendor (PPV) dan terus memperkasakannya dari semasa ke semasa. Dalam menjayakan program ini, KUSKOP telah pun menjalinkan kerjasama strategik bersama 27 syarikat Anchor yang terdiri daripada pemain industri utama negara ini di mana PLUS adalah salah sebuah daripada 27 syarikat Anchor tersebut
4. Untuk makluman semua, platform Program Pembangunan Vendor (PPV) ini membuka peluang kepada para vendor yang berdaftar dengan syarikat Anchor untuk mendapat bimbingan latihan, teknikal dan khidmat nasihat serta pembangunan penyelidikan. Terdapat beberapa program di bawah platform PPV ini yang ke semuanya menjadi tunjang keberhasilannya iaitu Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV), dan Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV).
5. GIPV merupakan bantuan dalam bentuk geran kepada syarikat vendor bagi menggalakkan penghasilan produk/ perkhidmatan baharu atau menambahbaik produk/ perkhidmatan dan proses di syarikat vendor Bumiputera untuk mengoptimumkan produktiviti syarikat. Manakala PPKV pula adalah bantuan dalam bentuk geran kepada syarikat vendor bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat vendor melalui latihan, akreditasi, pensijilan dan akses pasaran seterusnya meningkatkan peluang syarikat vendor menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
6. Melalui inisiatif yang digerakkan oleh kementerian dengan kerjasama syarikat-syarikat Anchor seperti PLUS ini, ia sekaligus dapat membangunkan keupayaan dan mengasah potensi vendor Bumiputera selaras dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
7. Saya percaya, PLUS mempunyai rangkaian vendor Bumiputera yang telah memperolehi manfaat daripada program ini dan berpeluang menimba pengalaman dan mengasah kompetensi masing-masing dalam mengharungi cabaran ekonomi dunia pada masakini. Harapan saya, melalui kerjasama strategik di antara Kerajaan melalui KUSKOP dengan PLUS sebagai syarikat Anchor, vendor-vendor Bumiputera yang berdaftar dengan PLUS akan menggunakan peluang ini sebaik-baik mungkin untuk meningkat kebolehan, kepakaran serta reputasi masing-masing dalam meneroka peluang-peluang lain selepas ini.
8. Dalam usaha memperkasakan lagi program pembangunan usahawan, pihak Kerajaan telah melaksanakan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030). Dasar Keusahawanan Nasional atau DKN ini merupakan strategi jangka panjang yang terdiri daripada enam (6) Teras Strategik dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan (entrepreneurial nation) yang unggul menjelang tahun 2030.
9. Pelaksanaan PPV adalah kritikal di dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030. DKN 2030 yang dilancarkan pada 11 Julai 2019 telah meletakkan pelaksanaan PPV sebagai inisiatif utama Teras Strategik Memantapkan Keupayaan dan Prestasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana. Inisiatif ini memfokuskan kepada penyertaan syarikat Anchor baharu dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Syarikat Multinational (MNC), pewujudan vendor berbilang tingkat dan peluasan sektor berpertumbuhan tinggi.
10. Vendor PPV adalah sebahagian daripada ekosistem PKS yang merangkumi hampir satu juta pertubuhan perniagaan di Malaysia dan menyumbang sebanyak hampir 39.1 peratus kepada KDNK pada tahun 2021. KUSKOP berhasrat untuk meningkatkan sumbangan PKS tempatan kepada KDNK sehingga 42 peratus pada tahun 2023, dan 50 peratus menjelang 2030 di bawah DKN 2030.
11. Aliran tunai amatlah penting bagi para usahawan bukan sahaja dari segi kelestarian tetapi juga dalam peningkatan penglibatan dan sumbangan usahawan usahawan ini kepada ekonomi negara secara keseluruhan. Kemandirian ekosistem PPV bukan sahaja apabila vendor dapat bertahan pada masa yang sukar tetapi juga untuk terus dapat berkembang seiring dengan industri dalam mencapai potensi penuh mereka.
12. Bagi membantu vendor Bumiputera dalam aliran tunai ini, inisiatif program pembiayaan vendor perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memudahkan akses kepada pembiayaan di kalangan vendor Bumiputera PPV. Kerjasama strategik atau ‘Konsep Payung’ di antara GLC dan institusi kewangan sebagai rakan kongsi ini adalah bertujuan mewujudkan penyelesaian kewangan yang berdaya maju serta menghubungkan vendor dalam ekosistem perolehan GLC yang dinamik dan kompetitif. ‘Konsep Payung’ ini boleh dilaksanakan apabila GLC bersedia menjadi penjamin kepada vendor-vendor Bumiputera yang memperolehi kontrak di bawah mereka mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan yang turut bekerjasama dalam inisiatif ini. Dengan ini, vendor akan mempunyai akses kepada kemudahan pembiayaan yang memenuhi keperluan khusus GLC untuk melaksanakan kewajipan kontrak mereka.
13. Melalui pelaksanaan ‘Konsep Payung’ ini, keupayaan kewangan GLC yang kukuh boleh dijadikan sandaran kepada vendor lantikan mereka mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan sekaligus berupaya memenuhi keperluan kontrak GLC. Inisiatif ini juga akan memberi keyakinan kepada institusi kewangan dalam memberi pinjaman kepada syarikat vendor. Ekosistem ini akan membantu kelestarian ketiga-tiga pihak iaitu GLC, vendor dan institusi kewangan dalam perniagaan masing-masing.
14. Saya begitu kagum dengan peranan yang telah dimainkan oleh PLUS apabila pada hari ini PLUS berjaya membuktikan komitmen yang tinggi dalam memperkasakan lagi para vendor atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan mengadakan Program Pengiktirafan Prestasi Vendor PLUS.
15. Saya percaya pengiktirafan yang diberikan akan menyuntik semangat vendor-vendor untuk terus cemerlang dan memberikan motivasi kepada vendor-vendor lain untuk turut sama berusaha. Saya yakin, program ini juga turut membuka ruang kerjasama dan komunikasi yang lebih erat antara PLUS dengan para vendor dalam mencapai kelestarian rantaian bekalan bagi pengoperasian lebuh raya PLUS.
16. Usaha PLUS pada hari ini sewajarnya menjadi contoh kepada pemain-pemain industri dalam kalangan syarikat GLC, syarikat Multi Nasional (MNC) dan syarikat besar tempatan yang lain untuk turut serta memperkasakan vendor masing-masing.
17. Saya juga mengharapkan penyertaan lebih ramai vendor tempatan untuk bekerjasama dengan syarikat berkepentingan dalam menggembleng idea dan tenaga bagi memperkasakan pembangunan keusahawanan di Malaysia. Pihak KUSKOP sentiasa berusaha dalam memberikan galakan dan dorongan kepada semua pihak dan syarikat korporat dalam pelbagai alternatif mahupun secara langsung atau tidak langsung.
18. Oleh yang demikian, saya menzahirkan keyakinan saya dan pihak Kerajaan terhadap keupayaan PLUS untuk melahirkan generasi usahawan yang baru.
19. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada PLUS dan Bahagian Perolehan PLUS serta seluruh jawatankuasa atas kejayaan penganjuran majlis ini.
20. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, melancarkan PLUS
Procurement Day 2022.
Discussion about this post