KUALA LUMPUR, 7 September 2023 – YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), peneraju startup peringkat awal, dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia).
Dokumen MoC ini ditandatangani oleh Norman Matthieu Vanhaecke, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle dan Aina Zahari, Pengarah, Strategi Korporat Bursa Malaysia.
MoC antara Cradle dan Bursa Malaysia ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan tentang peluang pembiayaan yang tersedia di Malaysia, termasuk yang ditawarkan dalam pasaran ekuiti. Selain itu, kerjasama ini bertujuan untuk memudahkan usaha mengenal pasti startup yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada program Fund Funnel, iaitu sebuah inisiatif oleh MOSTI untuk menyelaras pilihan pembiayaan serta menawarkan sokongan menyeluruh kepada usahawan sepanjang perjalanan dalam pembiayaan pembangunan perniagaan, dari peringkat permulaan (seed stage) hingga ke peringkat tawaran awam permulaan (IPO).
Pelaksanaan program Fund Funnel ini juga selari dengan Intervensi Dua yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, iaitu menekankan kepentingan penstrukturan semula ekosistem pelaburan tempatan bagi meningkatkan kecekapan serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, justeru, memudahkan akses pembiayaan kepada usahawan muda.
Mengulas tentang kepentingan kerjasama ini, YB Chang berkata “Program Fund Funnel dapat menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh usahawan startup seperti kekurangan maklumat mengenai peluang pembiayaan daripada Kerajaan, dalam masa yang sama, menjelaskan tentang agensi-agensi Kerajaan yang menawarkan pembiayaan bagi setiap peringkat.
“Program Fund Funnel ini diperkenalkan seiring dengan perjalanan transformasi Malaysia dalam memenuhi aspirasi yang digariskan di dalam SUPER. Program ini yang mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memupuk usahawan startup dengan menyediakan akses pembiayaan pada setiap peringkat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, iaitu untuk membina sebuah negara yang inovatif dan berteknologi tinggi,” katanya lagi.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Norman Matthieu Vanhaecke berkata kerjasama antara Cradle dan Bursa Malaysia memperlihatkan komitmen daripada dua pihak ini dalam penglibatan yang berterusan dengan pemain ekosistem untuk memupuk ketelusan dalam kriteria dan proses penyenaraian Bursa Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memperkasakan usahawan startup dan membangunkan strategi komprehensif mereka serta melancarkan proses penyenaraian di Bursa Malaysia, justeru, merapatkan jurang pembiayaan dalam ekosistem. Dengan menyelaraskan sumber, kepakaran dan kerjasama secara strategik, Cradle dan Bursa Malaysia dapat mewujudkan persekitaran ekosistem startup yang kondusif, merevolusikan industri dan memacu pertumbuhan ekonomi,” tambahnya.
Melalui kerjasama ini, Cradle akan menyediakan maklumat tentang pasaran ekosistem startup tempatan untuk membantu Bursa Malaysia mengenal pasti usahawan yang berpotensi untuk disenaraikan. Cradle mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam ekosistem startup dan telah membantu lebih 1,000 startup yang berasaskan teknologi di Malaysia daripada pelbagai peringkat. Startup yang disokong oleh Cradle juga mempunyai kadar pengkomersilan tertinggi dalam kalangan agensi pembiayaan di Malaysia.
Manakala Bursa Malaysia akan menganalisis data yang dikongsi oleh Cradle dan bekerjasama untuk menganjurkan program yang memberi tumpuan kepada akses pembiayaan. Selain itu, Bursa Malaysia akan menyokong Cradle dalam sesi perkongsian serta membantu usahawan startup memahami dengan lebih baik bagaimana pasaran ekuiti boleh menyumbang kepada pertumbuhan mereka. Ini adalah objektif penting dalam membantu usahawan startup untuk merancang pertumbuhan masa depan mereka dan mengenal pasti pembiayaan yang diperlukan dari peringkat awal hingga menjadi syarikat yang disenaraikan secara awam.
Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, “Kerjasama ini mencerminkan hasrat Bursa Malaysia untuk membantu Cradle dalam membina ekosistem startup yang berkembang maju dengan menangani masalah utama yang biasa dihadapi oleh usahawan tempatan, iaitu akses kepada peluang pembiayaan. Kami komited untuk menangani cabaran ini dan membantu usahawan muda dalam perjalanan pembiayaan, dan akhirnya, membantu mempercepatkan pertumbuhan bisnes dan membolehkan mereka disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Kami percaya hasil daripada kerjasama ini dapat memberikan impak positif bukan sahaja kepada usahawan tempatan yang terlibat secara langsung, tetapi juga kepada usahawan startup, pasaran modal Malaysia dan ekonomi negara,” tambah Tan Sri Wahid.
Discussion about this post